Sabtu, 17 Oktober 2009

Barcelona, Real Madrid hadapi saingan hebat

Pertarungan Liga Sepanyol dijangka menarik minggu ini

MADRID: Rekod sempurna Barcelona dengan sejumlah 18 mata daripada enam perlawanan bola sepak Liga Sepanyol terancam hari ini apabila juara bertahan itu berkunjung ke Valencia dalam jadual paling sukar mereka setakat ini.

Real Madrid berdepan tugasan lebih mudah dengan perlawanan tempat sendiri menentang Valladolid tetapi perlu sekali lagi melakukannya tanpa kelibat Cristiano Ronaldo selepas cedera di pergelangan kakinya bertambah buruk ketika tugasan antarabangsa bersama Portugal.



Valencia tampak akan turun tanpa bintang penyerang, David Villa - yang cuba dibeli Barcelona musim panas lalu - disebabkan kecederaan paha tetapi masih mempunyai serangan berbisa untuk merobek Barcelona menerusi pemain antarabangsa Sepanyol, Juan Mata dan David Silva.

"Kami mungkin membawa pemain simpanan untuk melindungi kecederaan tetapi kami tidak boleh merungut mengenai kecederaan kepada Villa, (Carlos) Marchena atau pemain lain," kata pemain tengah veteran, Ruben Baraja.

Barcelona menyamakan permulaan terbaik mereka dalam liga dengan enam kemenangan dan berharap untuk melakarkan rekod kelab dengan mencatatkan kemenangan ketujuh berturut-turut di Stadium Mestalla.

Madrid, yang menanti kunjungan Valladolid, tersungkur kepada kekalahan pertamanya musim ini - 2-1 kepada Sevilla - kali terakhir mereka turun dan kadang-kala media tempatan agak berlebih-lebihan untuk menyumbangkan kekalahan itu kepada ketiadaan Ronaldo dengan mendakwa Real mengalami kesan daripada "terlalu bergantung kepada Ronaldo." - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan